Wednesday, 28 April 2021

Sumbangan buku ke Pusat Sumber SMK Lui Barat, Jempol & SMK Senaling, Kuala Pilah

 



Unit Pusat Sumber sangat berbesar hati dengan sumbangan buku-buku bacaan kepada SMK Lui Barat, Jempol & SMK Senaling, Kuala Pilah. Majlis penyerahan buku sumbangan telah berlangsung pada 28 April 2021. Unit Pusat Sumber diketuai oleh Ketua Unit YBrs.Encik Mohd Affandi bin Abu serta diiringi oleh Pustakawan dan Pembantu Pustakawan.Unit Pusat Sumber komited untuk membantu Pusat Sumber sekolah-sekolah yang memerlukan sumbangan buku serta khidmat nasihat untuk pembangunan koleksi Pusat Sumber sekolah.

Monday, 26 April 2021

Taklimat perkhidmatan perpustakaan untuk pelajar Kolej Genius@Pintar ambilan 2021

 



Taklimat perkhidmatan perpustakaan untuk pelajar Kolej Genius@Pintar ambilan 2021 telah berlangsung pada 26 April 2021 di Balai Ilmu. Taklimat telah disampaikan oleh Ketua Unit, Encik Mohd Affandi bin Abu. Pelajar Kolej Genius@Pintar telah didedahkan dengan peraturan peminjaman dan perkhidmatan.

Thursday, 22 April 2021

Jom baca bersama untuk 10 minit

Program jom baca bersama untuk 10 minit telah berlangsung serentak seluruh negara pada 22 April 2021. Program tahunan ini menjadi aktiviti wajib bagi setiap agensi walaupun diadakan secara ringkas dan bersederhana kerana pandemik covid-19. Unit Pusat Sumber IPGKRM bersiaran secara langsung melalui Facebook Perpustakaan Melewar dan Google Meet untuk sesi soal bicara bersama panelis. Dengan tema 'baca itu terapi', soal bicara ini menampilkan Encik Hasbullah bin Abu Kassim, Ketua Pusat Pengurusan Stres (SMC), IPGKRM sebagai panel. Puan Fauziah Daud pula bertindak sebagai moderator sesi tersebut. Tepat jam 11.00 pagi, semua peserta memulakan bacaan masing-masing selama 10 minit. Peserta juga turut menyertai cabutan gambar bertuah melalui telegram. Gambar yang bertuah akan memenangi hadiah bagi setiap kategori warga IPGKRM. Ucapan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan program ini.





Monday, 19 April 2021

Sumbangan buku ke Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Seri Kelana, Seremban



Unit Pusat Sumber sangat berbesar hati dengan sumbangan buku-buku bacaan kepada murid-murid SK Seri Kelana, Seremban. Majlis penyerahan buku sumbangan telah berlangsung pada 16 April 2021. Unit Pusat Sumber diketuai oleh Ketua Unit YBrs.Encik Mohd Affandi bin Abu serta diiringi oleh Pustakawan dan Pembantu Pustakawan bertemu mata dengan YBrs.Encik Amir Fikri bin Ithnin, Guru Besar SK Seri Kelana. Ucapan terima kasih kepada Puan Zuraida binti Baharuddin, Guru Perpustakaan dan Media SK Seri Kelana untuk persediaan majlis yang telah berlangsung. Unit Pusat Sumber komited untuk membantu Pusat Sumber sekolah-sekolah yang memerlukan sumbangan buku serta khidmat nasihat untuk pembangunan koleksi Pusat Sumber sekolah.

Tuesday, 23 March 2021

Kunjungan Hormat Pengarah IPGKRM ke Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan

 



Sesi kunjungan hormat Tuan Pengarah IPGKRM bersama delegasi ke PPANS pada 22 Mac 2021 berlangsung dalam norma baharu dan mengikut SOP yang berkuatkuasa. YBhg. Dr. Mazlan bin Aris turut diringi oleh Puan Timbalan Pengarah YBrs. Dr. Masitah binti Mohammad Yusof, Ketua Unit Pusat Sumber En. Mohd Affandi bin Abu, Pustakawan En. Mohamad Fadzili Baharin dan Pegawai Pengurusan Pn. Nurulhidayah binti Alias.

Sesi kunjungan hormat disambut oleh YBhg Puan Jamilah @ Chumila binti Hj Katis, Pengarah PPANS dan YBrs. En. Hamdan bin Nordin. Sesi kunjungan hormat ini telah membuahkan hasil dan beberapa program dan aktiviti koloborasi antara dua agensi akan dilaksanakan.

Wednesday, 10 March 2021

Gimik Pelancaran Program Bakul Buku IPGKRM 2021

Majlis Pelancaran Program Bakul Buku IPGKRM telah disempurnakan dalam gimik penyerahan bakul buku oleh Ketua Unit Pusat Sumber, En. Mohd Affandi bin Abu kepada YBrs. Tuan Pengarah, Dr. Mazlan bin Aris. Majlis tersebut berlangsung pada 5 Mac 2021 di Majlis Perhimpunan Pensyarah & Pelajar IPGKRM Bil.2/2021 di Balai Kerapatan.

Program Bakul Buku IPGKRM 2021 bermatlamat untuk mengisi masa lapang warga kampus dengan membaca buku. Setiap Jabatan dan Unit akan dibekalkan bakul yang berisi buku dan akan mempunyai pusingan pertukaran bagi setiap bakul buku.



Friday, 26 February 2021

Program Bakul Buku 2021

Unit Pusat Sumber melalui aktiviti galakan membaca menampilkan Program Bakul Buku 2021. Program ini juga adalah salah satu aktiviti menyemarakkan sudut bahagia di setiap Jabatan/Unit di IPGKRM. Setiap Jabatan/ Unit  diberi pilihan untuk memilih bahan bacaan atau dicadangkan oleh pihak UPS. Bakul buku ini akan mempunyai pusingan selama 2 minggu bagi setiap giliran Jabatan/ Unit. 

Unit Praktikum IPGKRM menjadi Unit pertama yang menyokong program ini. Ketua Unit Pusat Sumber, Encik Mohd Affandi bin Abu telah menyerahkan bakul buku kepada Ketua Unit Praktikum En. Mohd Tahir bin Abdul Talib. Penyerahan bakul buku 2021 akan menemui Jabatan/Unit lain pada masa yang lain pula.

Untuk pengunjung bukan warga IPGKRM yang ingin mengetahui apa itu sudut bahagia dan konsep MEKAR boleh kunjungi blog MEKAR untuk maklumat lanjut.




Monday, 18 January 2021

Perkhidmatan Terkini Perpustakaan Melewar (2021)

Tahun 2020 telah melabuhkan tirai dalam situasi yang penuh dengan cabaran. Pandemik Covid-19 telah merubah kehidupan seluruh dunia secara paksa. Kehidupan dalam norma baharu adalah satu istilah yang yang bukan lagi asing dalam masyarakat kini. Begitu juga yang berlaku dalam aktiviti dan operasi pengurusan perpustakaan. Perkhidmatan dalam norma baharu yang diperkenalkan telah dapat menampung keperluan dalam menyediakan bahan sumber rujukan kepada pengguna. 

Bagi tahun 2021, Perpustakaan Melewar akan memantap dan menambahbaik perkhidmatan bagi menampung keperluan semasa. Antara perkhidmatan baharu yang diperkenalkan ialah:

1. Sudut komputer

    Menyediakan komputer sebagai khidmat sokongan kepada pengguna yang tidak mempunyai 

    komputer riba.



2. Ruang serbaguna (Foyer Pusat Sumber)

    Ruangan yang sedia diguna untuk sepanjang masa sama ada semasa ada diluar waktu perkhidmatan.



3. Pusat dokumentasi MEKAR

    Bilik Biduanda akan dijadikan tempat mempamer dokumen dan aktiviti berkaitan MEKAR.



4. Sudut Bahagia MEKAR 

    Ruangan hadapan Perpustakaan Melewar yang dihias dan disusun atur secara santai. 

    Terdapat koleksi album-album yang mengandungi gambar-gambar lama IPGKRM.



Sebagai menyokong iltizam pihak pengurusan untuk menjadikan IPGKRM sebagai pusat penyelidikan dan rujukan, dua pusat telah mula beroperasi di Pusat Sumber.

1. Pusat Pengurusan Stres (SMC)

2. Pusat Penyelidikan dan Galeri Adat Perpatih



Friday, 16 October 2020

IPGKRM Sumbang Buku untuk Pelajar Kompleks Al-Saadah

IPGKRM melalui Unit Pusat Sumber telah menyampaikan sumbangan buku-buku rujukan ilmiah kepada pelajar-pelajar Program Pensijilan MAINS, Komplek Al-Saadah. Delegasi IPGKRM diketuai oleh Ketua Unit Pusat Sumber En. Mohd Affandi Abu serta Pembantu Perpustakaan Kanan Pn. Fauziah Daud dan Pn. Hamimi Mohd Nozlan telah menyerahkan sumbangan buku kepada Ketua Bahagian Infrastruktur Khas PBMaINS, En. Zamri Ahmad Suhaimi.





Thursday, 8 October 2020

Majlis Perhimpunan Staf Bulan September & Oktober 2020 Anjuran Bersama Jabatan HEP, Unit Pusat Sumber & Unit Praktikum

 



Unit Pusat Sumber telah bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Unit Praktikum untuk menjayakan Majlis Perhimpunan Staf Bulan September & Oktober 2020 pada 7 Oktober 2020 di Balai Kerapatan.


Friday, 4 September 2020

Sesi taklimat Unit Pusat Sumber sempena Minggu Pengurusan Pelajar Baharu pada 3 September 2020 (Khamis). Taklimat disampaikan oleh Puan Faridah binti Din, Ketua Pusat Sumber IPGKRM.





Friday, 14 August 2020

Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019

Majlis Penyampaian APC 2019 telah berlangsung pada 13 Ogos 2020 bertempat di Perpustakaan Melewar, IPGKRM. Majlis disempurnakan oleh YBrs. Dr. Rusmini binti Ku Ahmad, Rektor IPGM dan turut dihadiri oleh Timbalan Rektor iaitu Dr. Nasharudin bin Basar dan Dr. Yazid bin Abdul Manap.

Pihak Perpustakaan Melewar mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan majlis.






Wednesday, 22 July 2020

Majlis Seni Budaya dan Persaraan IPGKRM

Unit Pusat Sumber telah diberi kepercayaan menjalankan kerja-kerja hiasan pentas untuk Majlis Seni Budaya dan Persaraan 2020. Pustakawan juga terlibat dalam persembahan semasa Majlis tersebut berlangsung.




Wednesday, 24 June 2020

Sesi Pembentangan Kumpulan Inovasi Unit Pusat Sumber K.I.U.P.S





Kumpulan Inovasi Unit Pusat Sumber, IPGKRM (K.U.I.P.S) telah membuat pembentangan sebagai persediaan untuk Pertandingan Inovasi MIND IPG 2020. Sesi pembentangan juga dihadiri oleh dua kumpulan lain yang juga akan turut sama menyertai pertandingan. Nantikan kemunculan inovasi pengurusan terbaru dari K.U.I.P.S demi menambahbaik mutu perkhidmatan perpustakaan.

Wednesday, 10 June 2020

Normal baharu dalam perkhidmatan perpustakaan


Oleh: Mohamad Fadzili bin Baharin

Kini kita telah memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijangka merupakan fasa terakhir dalam kaedah pengawalan pandemik Covid-19. Setelah mengharungi fasa-fasa pkp yang terdahulu sejak 18 mac 2020, kita telah melihat berlaku perubahan yang drastik dalam rutin harian kita sebagai pekerja, pelajar mahupun individu yang tidak bekerja seperti surirumah dan kanak-kanak. Pandemik Covid-19 telah mempengaruhi kehidupan, rutin dan normalisasi masyarakat global.

Perkhidmatan perpustakaan seluruh dunia juga terkesan dengan situasi semasa. Kesemua perkhidmatan bersemuka telah ditutup sepenuhnya dalam mengawal jangkitan Covid-19. IFLA (The International Federation of Library Associations and Institutions) selaku badan antarabangsa  yang mewakili perkhidmatan dan pengguna perpustakaan turut mengemaskini maklumat dan idea secara berterusan dalam membantu perpustakaan dan pengguna menghadapi pandemik Covid-19. Antara yang menjadi kunci utama dan disarankan oleh IFLA adalah megenai keselamatan di tempat kerja iaitu perpustakaan. Setelah memasuki fasa pemulihan, IFLA (2020) turut mencadangkan pembukaan semula perkhidmatan perpustakaan secara fizikal mengikut kaedah dan prosedur yang mengutamakan kesihatan petugas dan pengguna perpustakaan.

Semasa fasa PKP dilaksanakan di Malaysia, kecenderungan pemilihan bahan bacaan lebih kepada bahan berbentuk digital. Ini adalah termasuk penggunaan ‘e-book’ (eBuku), ‘audio-book’ (buku audio), dan bahan akses terbuka di internet. Pengguna memilih untuk menggunakan perkhidmatan digital sebagai alternatif kepada bahan fizikal. Populariti bahan digital pada masa ini telah mendahului kepentingan bahan fizikal.

Walaupun sebelum ini terdapat perkhidmatan bahan bacaan dan rujukan berbentuk elektronik, tetapi kebergantungan pengguna kepada perkhidmatan bersemuka adalah lebih jelas. Majoriti pengguna masih memerlukan buku dan bahan rujukan berbentuk fizikal. Terdapat kajian yang telah membuktikan keperluan buku fizikal adalah lebih tinggi berbanding eBuku. Kajian oleh Naomi Baaron (2017) sebagai contoh telah menjelaskan dalam kajiannya 92% daripada pelajar memilih untuk membuat  rujukan dengan menggunakan buku fizikal.  Kajian beliau menjelaskan bahawa pembaca akan lebih memberikan tumpuan dalam kaedah membuat rujukan dan ulangkaji.

Perkhidmatan perpustakaan juga tidak lari dari menerima kesan dalam perubahan rutin normal. Jika sebelum ini perkhidmatan perpustakaan kebiasaannya adalah perkhidmatan secara bersemuka kini berubah kepada normal baharu. Selama lebih dari 3 bulan kita keluar dari rutin normal yang terdahulu kini kita perlu meletakkan normal baharu sebagai rutin kehidupan seharian. Normal baharu dalam perkhidmatan perpustakaan perlu diterapkan dalam fasa pemulihan ini bagi memastikan perkhidmatan bersemuka secara kawalan dapat dilaksanakan.


Apakah yang dimaksudkan dengan normal baharu dalam perkhidmatan perpustakaan?

1.    Perkhidmatan bahan bacaan dan rujukan atas talian.

Kita akui bahawa agensi-agensi berkaitan seperti Perpustakaan Negara Malaysia, Perpustakaan Akademik dan Perpustakaan Agensi telah giat mempromosikan penggunaan buku elektronik dan platform-platform untuk mengakses bahan-bahan rujukan lain berbentuk atas talian. Kaedah mengakses bahan bacaan dan rujukan secara atas talian telah mendapat sambutan yang baik dan berjaya mengambil alih bahan bacaan fizikal semasa pandemik Covid-19. Kesemua usaha ini amat jelas sebagai alternatif terbaik yang ditawarkan dalam perkhidmatan perpustakaan untuk mengakses bahan bacaan semasa pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.

2.    Perkhidmatan perpustakaan fizikal dengan SOP

Normal baharu dalam perkhidmatan perpustakaan lebih berfokus kepada perkhidmatan berbentuk elektronik seperti penggunaan eBuku dan sebagainya. Namun begitu, setelah kita memasuki fasa pemulihan seharusnya perkhidmatan fizikal telah mula dibuka secara berperingkat. Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disediakan oleh pihak berwajib boleh dilaksanakan sebagai kawalan untuk membuka perkhidmatan fizikal kepada pengguna perpustakaan.


3.    Perkhidmatan peminjaman dan pemulangan buku pintu ke pintu

Perpustakaan perlu lebih proaktif dengan perkhidmatan berinovasi yang boleh menggantikan kaedah lama dan digantikan dengan normal baharu yang lebih fleksibel dan pada masa yang sama dapat mengawal pergerakan pengguna. Inilah masa yang terbaik mempraktikkan kaedah peminjaman dan pemulangan buku dari pintu ke pintu. Pelbagai kaedah boleh dilaksanankan sama ada menggunakan perisian, aplikasi mobil dan emel ataupun secara manual melalui panggilan telefon.

4.    Perkhidmatan khidmat nasihat bahan bacaan dan rujukan

Sudah sampai masanya perpustakaan menjadikan normal baharu ini sebagai pemangkin untuk menonjolkan kemahiran dan kepakaran kakitangan perpustakaan untuk membekalkan bahan bacaan dan rujukan kepada pengguna. Pelbagai medium dan kaedah boleh digunakan untuk perkhidmatan ini dapat dilaksanakan. Aktiviti promosi perlu dibuat bagi memastikan perkhidmatan ini diketahui oleh pengguna.

Normal baharu adalah penting dan perlu dilaksanakan semasa fasa pemulihan dan fasa pasca Covid19.  Inilah masa yang paling sesuai untuk menjadikan normal baharu sebagai rutin dalam penyediaan perkhidmatan. Perkhidmatan perpustakaan tetap relevan untuk memenuhi keperluan pengguna tidak kira perkhidmatan bersemuka ataupun pembekalan bahan digital.


Rujukan:

Astroawani.com. 2020. COVID-19: Perpustakaan Negara Tawar 13.2 Juta Bahan Bacaan Digital Secara Percuma. [online] Available at: <http://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid-19-perpustakaan-negara-tawar-13-2-juta-bahan-bacaan-digital-secara-percuma-234173> [Retrieved June 9, 2020].
IFLA (2020). COVID-19 and the Global Library Field. [Online] Available at: <https://www.ifla.org/covid-19-and-libraries> [Retrieved June 8, 2020].
Naomi, B. S. (2017). Attending to reading in a digital age [PDF].

Thursday, 14 May 2020

Langkah-langkah keselamatan Perpustakaan Melewar sepanjang tempoh PKPB

Pihak Perpustakaan Melewar (Unit Pusat Sumber) mengambil inisiatif keselamatan bagi memastikan penjarakan sosial dilakukan sebaik mungkin. berikut merupakan inisiatif yang telah diambil:


1. Garisan penjarakan sosial di kaunter pusat sumber
2. Poster peringatan penjarakan sosial
3. Penanda 'kosongkan' di kerusi meja rujukan dan kerusi mesyuarat bilik biduanda.
4. Hand sanitizer di kaunter
5. Pendaftaran kehadiran pengunjung.





Tuesday, 28 April 2020

Jom Baca 2020 Peringkat IPGKRM #stayathome #readathome

Jom Baca 2020 peringkat IPGKRM telah diadakan pada 23 April 2020 yang lalu. Walaupun dalam tempoh PKP akibat wabak COVID-19 sedikit pun tidak melunturkan semangat rakyat Malaysia untuk memeriahkan Jom Baca 2020 pada tahun ini. Begitu juga warga kampus IPGKRM yang terus bersemangat untuk menyokong aktiviti pembudayaan membaca. Semua warga IPGKRM yang mengambil bahagian telah menghantar gambar individu, pasangan dan keluarga. Berikut merupakan gambar-gambar pilihan sepanjang program yang dijalankan dna juga video kompilasi Jom Baca 2020.








untuk video yang lebih berkualiti sila layari facebook Perpustakaan Melewar

Thursday, 12 March 2020

CPD - Kursus Pengurusan Pusat Sumber Sekolah GPM 2020: Siri 1/2020







CPD Kursus Pengurusan Pusat Sumber Sekolah GPM 2020 telah diadakan di Balai Ilmu, IPGKRM pada 11 Mac 2020 (Rabu). Kursus ini disertai oleh majoritinya terdiri daripada GPM dari PPD Sepang, Selangor dan beberapa GPM sekitar Seremban. Kursus ini memberikan pendedahan mengenai konsep pengurusan pusat sumber yang meliputi pelbagai aspek yang terdapat dalam instrumen penilaian pusat sumber sekolah. Peserta juga diberi pendedahan kepada beberapa aspek teknikal dalam pengurusan koleksi pusat sumber. Puan Faridah Din dan Encik Mohamad Fadzili Baharin bertindak sebagai penceramah dan dibantu oleh staf Perpustakaan Melewar sebagai fasilitator. Pihak Unit Pusat Sumber turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pembangunan Latihan terutamanya kepada pegawai pengurusan Unit Latihan Dalam Perkhidmatan yang membantu dari awal perancangan CPD sehingga kursus ini tamat dengan jayanya.