Thursday 13 July 2023

Hari Terbuka Pusat Sumber 2023 #HTPS2023

 




Hari Terbuka Pusat Sumber 2023 (HTPS2023) telah diadakan pada 12 Julai 2023 yang lalu. HTPS2023 telah dirasmikan oleh YB. Dato'  Dr. Mohamad Rafie bin Ab. Malek, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Kerajaan Negeri Sembilan.  

Program dimulakan dengan slot resensi buku yang disampaikan oleh Dr. Wan Ali Akbar bin Wan Abdullah pada jam 8.30 pagi. Beliau mengupas perjalanan penulisan buku yang bertajuk Inovasi Pendidikan Islam - Inspirasi dan Transformasi. Program diteruskan lagi dengan Pertandingan Open Stage yang disertai oleh sekolah-sekolah yang terpilih. Persembahan terdiri daripada pelbagai jenis seperti nyanyian, bercerita, pidato dan wushu. 

Seterusnya, Majlis Perasmian Hari Terbuka Pusat Sumber 2023 dan Pelancaran Portal Pusat Rujukan Peradaban & Penyelidikan Ketamadunan Adat Perpatih Sedunia (PRADAKAPS) berlangsung pada jam 11.30 pagi. Majlis perasmian dimulakan dengan ketibaan tetamu kehormat, nyanyian lagu Negaraku, deklamasi sajak oleh Pn. Hjh. Ratna Laila binti Shahidin yang bertajuk Tiada Yang Ada, bacaan doa dan diserikan lagi dengan persembahan nyanyian oleh pelajar IPG Kampus Raja Melewar. Setelah itu, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah IPG Kampus Raja Melewar, Encik Mohamad Zaidi bin Ishak dan deklamasi sajak yang bertajuk Anugerah Ukhuwah oleh Encik Amran bin Bakar. Sejurus selepas itu, berlangsungnya tayangan video dan pelancaran buku Laungan Puitis di Puncak Bukit Kepayang dan Tempur. Majlis diteruskan dengan agenda yang dinanti-nanti iaitu ucapan perasmian oleh YB Dato' Dr. Mohamad Rafie bin Ab. Malek.

YB Dato' Dr. Mohamad Rafie bin Ab. Malek. menyempurnakan gimik perasmian Hari Terbuka Pusat Sumber 2023 dan Pelancaran Portal Pusat Rujukan Peradaban & Penyelidikan Ketamadunan Adat Perpatih Sedunia (PRADAKAPS). Perasmi juga telah menyempurnakan penyampaian cenderamata kepada agensi dan pempamer dalam program ini dan acara terakhir yang berlangsung ialah kejutan sempena hari lahir beliau.  Seterusnya, tetamu kehormat dibawa berkunjung ke galeri PRADAKAPS dan menjamu selera di Bilik Biduanda sebelum merakamkan gambar kenangan.