Tuesday 9 June 2020

Normal baharu dalam perkhidmatan perpustakaan


Oleh: Mohamad Fadzili bin Baharin

Kini kita telah memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijangka merupakan fasa terakhir dalam kaedah pengawalan pandemik Covid-19. Setelah mengharungi fasa-fasa pkp yang terdahulu sejak 18 mac 2020, kita telah melihat berlaku perubahan yang drastik dalam rutin harian kita sebagai pekerja, pelajar mahupun individu yang tidak bekerja seperti surirumah dan kanak-kanak. Pandemik Covid-19 telah mempengaruhi kehidupan, rutin dan normalisasi masyarakat global.

Perkhidmatan perpustakaan seluruh dunia juga terkesan dengan situasi semasa. Kesemua perkhidmatan bersemuka telah ditutup sepenuhnya dalam mengawal jangkitan Covid-19. IFLA (The International Federation of Library Associations and Institutions) selaku badan antarabangsa  yang mewakili perkhidmatan dan pengguna perpustakaan turut mengemaskini maklumat dan idea secara berterusan dalam membantu perpustakaan dan pengguna menghadapi pandemik Covid-19. Antara yang menjadi kunci utama dan disarankan oleh IFLA adalah megenai keselamatan di tempat kerja iaitu perpustakaan. Setelah memasuki fasa pemulihan, IFLA (2020) turut mencadangkan pembukaan semula perkhidmatan perpustakaan secara fizikal mengikut kaedah dan prosedur yang mengutamakan kesihatan petugas dan pengguna perpustakaan.

Semasa fasa PKP dilaksanakan di Malaysia, kecenderungan pemilihan bahan bacaan lebih kepada bahan berbentuk digital. Ini adalah termasuk penggunaan ‘e-book’ (eBuku), ‘audio-book’ (buku audio), dan bahan akses terbuka di internet. Pengguna memilih untuk menggunakan perkhidmatan digital sebagai alternatif kepada bahan fizikal. Populariti bahan digital pada masa ini telah mendahului kepentingan bahan fizikal.

Walaupun sebelum ini terdapat perkhidmatan bahan bacaan dan rujukan berbentuk elektronik, tetapi kebergantungan pengguna kepada perkhidmatan bersemuka adalah lebih jelas. Majoriti pengguna masih memerlukan buku dan bahan rujukan berbentuk fizikal. Terdapat kajian yang telah membuktikan keperluan buku fizikal adalah lebih tinggi berbanding eBuku. Kajian oleh Naomi Baaron (2017) sebagai contoh telah menjelaskan dalam kajiannya 92% daripada pelajar memilih untuk membuat  rujukan dengan menggunakan buku fizikal.  Kajian beliau menjelaskan bahawa pembaca akan lebih memberikan tumpuan dalam kaedah membuat rujukan dan ulangkaji.

Perkhidmatan perpustakaan juga tidak lari dari menerima kesan dalam perubahan rutin normal. Jika sebelum ini perkhidmatan perpustakaan kebiasaannya adalah perkhidmatan secara bersemuka kini berubah kepada normal baharu. Selama lebih dari 3 bulan kita keluar dari rutin normal yang terdahulu kini kita perlu meletakkan normal baharu sebagai rutin kehidupan seharian. Normal baharu dalam perkhidmatan perpustakaan perlu diterapkan dalam fasa pemulihan ini bagi memastikan perkhidmatan bersemuka secara kawalan dapat dilaksanakan.


Apakah yang dimaksudkan dengan normal baharu dalam perkhidmatan perpustakaan?

1.    Perkhidmatan bahan bacaan dan rujukan atas talian.

Kita akui bahawa agensi-agensi berkaitan seperti Perpustakaan Negara Malaysia, Perpustakaan Akademik dan Perpustakaan Agensi telah giat mempromosikan penggunaan buku elektronik dan platform-platform untuk mengakses bahan-bahan rujukan lain berbentuk atas talian. Kaedah mengakses bahan bacaan dan rujukan secara atas talian telah mendapat sambutan yang baik dan berjaya mengambil alih bahan bacaan fizikal semasa pandemik Covid-19. Kesemua usaha ini amat jelas sebagai alternatif terbaik yang ditawarkan dalam perkhidmatan perpustakaan untuk mengakses bahan bacaan semasa pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.

2.    Perkhidmatan perpustakaan fizikal dengan SOP

Normal baharu dalam perkhidmatan perpustakaan lebih berfokus kepada perkhidmatan berbentuk elektronik seperti penggunaan eBuku dan sebagainya. Namun begitu, setelah kita memasuki fasa pemulihan seharusnya perkhidmatan fizikal telah mula dibuka secara berperingkat. Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disediakan oleh pihak berwajib boleh dilaksanakan sebagai kawalan untuk membuka perkhidmatan fizikal kepada pengguna perpustakaan.


3.    Perkhidmatan peminjaman dan pemulangan buku pintu ke pintu

Perpustakaan perlu lebih proaktif dengan perkhidmatan berinovasi yang boleh menggantikan kaedah lama dan digantikan dengan normal baharu yang lebih fleksibel dan pada masa yang sama dapat mengawal pergerakan pengguna. Inilah masa yang terbaik mempraktikkan kaedah peminjaman dan pemulangan buku dari pintu ke pintu. Pelbagai kaedah boleh dilaksanankan sama ada menggunakan perisian, aplikasi mobil dan emel ataupun secara manual melalui panggilan telefon.

4.    Perkhidmatan khidmat nasihat bahan bacaan dan rujukan

Sudah sampai masanya perpustakaan menjadikan normal baharu ini sebagai pemangkin untuk menonjolkan kemahiran dan kepakaran kakitangan perpustakaan untuk membekalkan bahan bacaan dan rujukan kepada pengguna. Pelbagai medium dan kaedah boleh digunakan untuk perkhidmatan ini dapat dilaksanakan. Aktiviti promosi perlu dibuat bagi memastikan perkhidmatan ini diketahui oleh pengguna.

Normal baharu adalah penting dan perlu dilaksanakan semasa fasa pemulihan dan fasa pasca Covid19.  Inilah masa yang paling sesuai untuk menjadikan normal baharu sebagai rutin dalam penyediaan perkhidmatan. Perkhidmatan perpustakaan tetap relevan untuk memenuhi keperluan pengguna tidak kira perkhidmatan bersemuka ataupun pembekalan bahan digital.


Rujukan:

Astroawani.com. 2020. COVID-19: Perpustakaan Negara Tawar 13.2 Juta Bahan Bacaan Digital Secara Percuma. [online] Available at: <http://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid-19-perpustakaan-negara-tawar-13-2-juta-bahan-bacaan-digital-secara-percuma-234173> [Retrieved June 9, 2020].
IFLA (2020). COVID-19 and the Global Library Field. [Online] Available at: <https://www.ifla.org/covid-19-and-libraries> [Retrieved June 8, 2020].
Naomi, B. S. (2017). Attending to reading in a digital age [PDF].

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.